MANUSIA diberikan akal oleh Allah s.w.t dalam hasrat menggunakannya untuk tujuan yang bermanfaat, bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada masyarakat, negara, dan keseluruhan isi warga dunia sekiranya mampu. Ayat pertama yang diturunkan kepada Nabi s.a.w adalah Iqra yang membawa maksud baca (kaji, teliti, bedah, siasat dan sebagainya). Dengan pembacaan yang merangkumi pelbagai aspek tersebut, maka lahirlah pelbagai teori sains, fizik, matematik, kimia, biologi, geografi, dan lain-lain lagi. Begitulah kehendak Allah s.w.t. Tiada sesiapa pun makhluk-Nya yang mampu menghalang segala apa yang diinginkan oleh Allah.
Bagaikan sukar mahu dipercayai, seorang profesor fizik di Amerika Syarikat telah membuat satu kajian tentang kelebihan solat berjemaah yang disyariatkan dalam agama Islam. Katanya, tubuh badan kita mengandungi dua cas elektrik, iaitu cas positif dan cas negatif. Dalam aktiviti harian kita sama ada bekerja, beriadah atau berehat, sudah tentu memang banyak tenaga digunakan.Dalam proses pembakaran tenaga, banyak berlaku pertukaran cas positif dan cas negatif, yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh kita. Ketidakseimbangan cas dalam badan menyebabkan kita rasa letih dan lesu setelah menjalankan aktiviti seharian. Oleh hal yang demikian itu, cas-cas ini perlu diseimbangkan semula untuk mengembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal. Berkaitan dengan solat berjemaah, timbul persoalan di minda profesor ini, mengapa Islam mensyariatkan solat berjemaah dan mengapa solat lima waktu yang didirikan oleh orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama.Hasil kajiannya mendapati bahawa bilangan rakaat yang berbeza dalam solat bertindak secara proaktif agar mampu menyeimbangkan cas-cas dalam badan kita. Semasa kita solat berjemaah, kita disuruh meluruskan saf, bahu bertemu bahu dan bersentuhan tapak kaki. Tindakan-tindakan yang dianjurkan semasa solat berjemaah itu mempunyai berbagai-bagai kelebihan. Kajian sains mendapati bahawa sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan kanan kita akan menstabilkan kembali cas-cas yang diperlukan oleh tubuh. Ia berlaku apabila cas yang berlebihan - sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam badan kita.
Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita.Menurutnya lagi, setiap kali kita bangun dari tidur, badan kita akan merasa segar dan sihat setelah berehat berapa jam. Ketika ini tubuh kita mengandungi cas-cas positif dan negatif yang hampir seimbang. Oleh hal yang demikian itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas agar keseimbangan penuh boleh dicapai. Oleh sebab itu, solat Subuh didirikan dengan dua rakaat.Seterusnya, setelah seharian kita bekerja kuat dan memerah otak, semua cas ini kembali tidak stabil akibat kehilangan cas lebih banyak daripada tubuh. Oleh sebab itu, kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas. Solat jemaah yang disyariatkan Islam berperanan untuk memulihkan keseimbangan cas-cas berkenaan. Sebab itu, solat Zohor didirikan dengan empat rakaat untuk memberi ruang yang lebih kepada proses pertukaran cas dakam tubuh.Situasi yang sama turut berlaku pada sebelah petang. Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas. Ini menyebabkan sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak. Sepertimana solat Zohor, empat rakaat untuk solat Asar yang dikerjakan akan memberikan ruang kepada proses pertukaran cas dengan lebih lama.
Lazimnya, selepas waktu Asar dan pulang daripada kerja, kita tidak lagi melakukan aktiviti-aktiviti yang banyak menggunakan tenaga. Masa yang diperuntukkan pula tidak begitu lama. Maka, solat Maghrib hanya dikerjakan sebanyak 3 rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yng kurang berbanding dua waktu sebelumnya.Timbul persoalan di fikiran profesor itu tentang solat Isyak yang mengandungi empat rakaat. Logiknya, pada waktu malam, kita tidak banyak melakukan aktiviti dan sudah tentu tidak memerlukan proses pertukaran cas yang banyak.Setelah kajian lanjut, didapati terdapat keistimewaan mengapa Allah mensyariatkan empat rakaat dalam solat Isyak. Kita sedia maklum, umat Islam amat digalakkan untuk tidur awal agar mampu bangun menunaikan sembahyang tahajjud di sepertiga malam. Ringkasnya, solat Isyak sebanyak 4 rakaat itu akan menstabilkan cas dalam badan serta memberikan tenaga untuk kita bangun malam (qiamullail).Dalam kajiannya, professor ini mendapati bahawa Islam adalah satu agama yang lengkap dan istimewa. Segala amalan dan suruhan Allah s.w.t itu mempunyai hikmah yang tersirat untuk kebaikan umat Islam itu sendiri. Beliau merasakan betapa kerdilnya diri dan betapa hebatnya Pencipta alam ini. Akhirnya, dengan hidayah Allah s.w.t, beliau memeluk agama Islam. Wallahua’lam.
0 comments:
Post a Comment