Suka untuk saya memulakan bingkisan ini dengan sepotong hadith, Baginda bersabda:
"إِنَّمَا بُعِثْتُ مُعَلِّمًا"
Maksudnya:
“Sesungguhnya aku diutuskan sebagai guru”
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana setelah sekian lama Tintamurabbi “menyepikan diri”,kini, diberikan oleh Allah SWT masa dan ruang untuk mencoretkan sesuatu di blog yang tidak seberapa ini. Setelah hampir 3 bulan mengharungi suka duka kehidupan diari seorang “Guru”, sedikit sebanyak mengajar diri yang fakir ini mengenali realiti kehidupan masyarakat pada hari ini. Dahulunya, ke sekolah sebagai seorang pelajar.Namun,kini sebagai seorang guru.Nyatanya,ia amat berbeza sekali. Melihat sekolah daripada perspektif dan ‘angle’ yang berbeza daripada yang sebelumnya.Walaupun, hampir 11 tahun berada di dunia persekolahan sebelum ini,ibarat pertama kali menjejakkan kaki ke dunia yang bermacam-macam ragamnya. Walaubagaimanapun,bingkisan kali ini bukanlah untuk mencoretkan bingkisan pengalaman di sepanjang sesi latihan mengajar,tetapi saya ingin berkongsi pandangan berkisar “Realiti Seorang Guru”
Guru/Pendidik pada hakikat yang sebenarnya tidak kira sama ada yang bergelar cikgu mahupun ustaz mempunyai tanggungjawab yang sama iaitu mendidik manusia kepada jalan yang diredhai oleh Allah s.w.t. Kita tidak boleh mengasingkan gelaran cikgu dan ustaz kerana tugas mereka adalah sama iaitu mendidik manusia. Ingatan buat para Guru/Pendidik khususnya, ANDA perlu memahami bahawa ANDA sebenarnya menyambung tugas para Rasul dan Nabi dalam mengajar dan mendidik manusia. Marilah sama-sama kita melihat beberapa firman Allah swt yang bermaksud:
“(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui”.
(Surah Al-Baqarah: 151)
"Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana". (Al-Baqarah: 129)
“Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata”. (Ali-Imran: 164)
“Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata”.
(Al-Jumu’ah: 2)
Namun, apa yang mendukacitakan ialah kebanyakan masyarakat umum memahami tugas dan tanggungjawab guru dalam erti kata yang sempit. Masakan tidak, sistem pendidikan yang sedia, bagi melahirkan para guru/pendidik terlalu mengagung-agungkan teori dan konsep pendidikan sekular dari barat. Sedangkan, telah terbukti teori dan konsep pendidikan Rasulullah SAW telah berjaya mendidik jiwa manusia secara keseluruhannya. Natijah daripada penghayatan konsep pendidikan Rasulullah SAW berteraskan Al-Qur'an dan sunnah, telah banyak memberikan impak maksima terhadap transformasi prinsip dan peradaban manusia. Keunggulan Nabi Muhammad SAW dalam mendidik manusia tiada tolok bandingnya. Syeikh Said Hawa telah menjelaskan dalam tulisannya “Ar-Rasul SAW” tentang keunggulan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang guru dan pendidik :
“Sesungguhnya hanya Rasulullah SAW yang telah mendidik jiwa manusia atas jalan yang betul dan benar. Adapun orang lain, mungkin mereka telah mendidik jiwa manusia dari satu sudut tetapi mengabaikan sudut-sudut yang lain. Adapun Rasulullah SAW, sesungguhnya baginda telah mendidik jiwa manusia secara keseluruhannya dengan sangat terperinci dan mendalam”.
Proses pendidikan Rasulullah SAW yang bermula dengan penyemaian benih akidah yang mantap dan subur, membuahkan hasil yang mampu membentuk peribadi manusia bukan sekadar Taqwanya kepada Allah SWT malah mampu menjadi insan yang mempunyai minda dan jiwa yang dimanik dan progresif. Hakikat ini dapat kita lihat daripada keperibadian para sahabat hasil daripada didikan Rasulullah SAW.Namun, realitinya,para bakal guru di'doktrin'kan dengan teori dan konsep pendidikan sekular barat yang berasaskan akal semata-mata.Sebahagian guru muslim yang SEDAR (Guru SEDAR),berusaha mengkaji dan mencari sumber-sumber rujukan berkenaan kaedah pengajaran Rasulullah SAW.Ia merupakan suatu usaha yang baik sekali.
Namun, persoalan-persoalan yang timbul ialah,pertamanya sumber rujukan mengenai konsep pendidikan dan kaedah pengajaran Rasulullah SAW amat terhad sekali. Persoalan kedua, tiada subjek khusus ditawarkan kepada bakal guru bagi ‘memurnikan’ konsep pendidikan dan kaedah pengajaran Rasulullah SAW di IPT mahupun Maktab Perguruan. Sebagai seorang guru muslim, saya berpendapat ia merupakan suatu kerugian besar terhadap sistem pendidikan Negara.
Akhir kata, sebagai Guru/Pendidik kita hendaklah mempunyai persediaan mental, emosi, rohani dan jasmani yang terbaik bagi melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan. Ingatan buat saya dan para guru, Berkata Imam Al-Ghazali:
“Jika engkau seorang guru maka hendaklah engkau jaga adab-adab ini, antaranya ialah memperbaiki diri sendiri dengan taqwa sebelum ia menyuruh orang lain, supaya muridnya dapat mencontohi amalannya dan mengambil manfaat daripada percakapannya (ilmunya)”.(Bidayatul Hidayah)
Al-Quran dari kacamata barat
12 years ago
0 comments:
Post a Comment